Alasan-alasan yang menentang bunuh diri Pandangan falsafah tentang bunuh diri

Banyak alasan falsafah telah diberikan untuk menegaskan bahawa bunuh diri adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral dan tidak mengikut etika. Salah satu alasan yang popular adalah bahawa banyak daripada alasan-alasan untuk membunuh diri, seperti kemurungan, sakit jiwa, atau kesukaran kewangan adalah sesuatu keadaan yang sementara dan dapat diatasi melalui terapi dan perubahan-perubahan gaya hidup.

Satu pepatah umum dalam huraian terhadap pencegahan bunuh diri menyimpul pandangan ini: Bunuh diri ialah penyelesaian tetap untuk masalah sementara. Ken Baldwin, seorang murung yang berumur 28 tahun dan yang cuba membunuh diri, mengenangkan fikiran-fikiran pertamanya selepas melompat dari Jambatan Golden Gate:

"Aku menyedari dengan serta merta bahawa kesemua masalah dalam kehidupanku yang aku anggap tidak dapat diatasi semuanya dapat diatasi — kecuali perbuatan melompat". [1] Bagaimanapun, alasan yang menentang ini adalah bahawa sedangkan sakit mungkin kelihatan sementara kepada kebanyakan orang dan bagi banyak kes, ini adalah benar, dalam banyak kes yang lain, keadaan itu terlalu sukar atau juga tidak mungkin dapat diatasi walaupun adanya kaunseling atau perubahan gaya hidup, bergantung kepada teruknya kes tersebut, serta keupayaan seseorang untuk menghadapi dan mengatas sakitnya. Contoh-contohnya ialah penyakit yang teruk atau tidak dapat dirawat, serta penyakit mental seumur hidup.

Liberalisme Klasik

John Stuart Mill memperdebatkan dalam eseinya yang terpengaruh, Mengenai Kebebasan (On Liberty), bahawa oleh sebab sine qua non kebebasan ialah daya upaya seseorang untuk membuat pilihan, sebarang pilihan yang menyebabkan kehilangan keupayaan seseorang untuk membuat pilihan lanjut harus dihalang. Oleh itu, bagi Mill, pengabdian diri atau pembunuhan diri harus dicegah agar mengelakkan sebarang kehilangan untuk membuat pilihan selanjutnya. Berkenaan dengan perkara ini, Mill menulis dalam Mengenai Kebebasan:

Bukan sahaja orang-orang tidak terikat kepada perjanjian-perjanjian yang mencabuli hak pihak-pihak ketiga, ia juga kekadang dianggap sebagai alasan yang munasabah untuk membebaskan mereka daripada perjanjian yang dibuat jika perjanjian-perjanjian itu menjejaskan mereka. Umpamanya di negara ini serta negara-negara yang bertamadun, sebuah perjanjian yang memerlukan seseorang menjual diri atau membenarkan seseorang menjual diri sebagai abdi adalah tidak sah di sisi undang-undang dan tidak dapat dikuatkuasakan, baik oleh undang-undang mahupun oleh pendapat. Alasan untuk mengehadkan kuasa sedemikian adalah nyata, dan dapat dilihat dengan amat jelas daripada kes berketerlaluan ini. Alasan untuk tidak bercampur tangan dengan perbuatan-perbuatan rela seseorang, kecuali semata-mata untuk kepentingan orang lain, berdasarkan pertimbangan kebebasannya. Pilihannya yang rela ialah bukti bahawa apa yang dipilih adalah keinginannya, atau sekurang-kurangnya dapat ditahannya. Pada keseluruhannya, tindakan yang paling baik untuk memastikan kebaikan seseorang adalah untuk membenarkannya membuat keputusan sendiri. Tetapi jika dia menjual diri sebagai abdi, dia melepaskan kebebasannya dan hilangnya pada masa hadapan dengan satu tindakan tunggal tersebut. Dengan itu, dia menggagalkan tujuan yang merupakan justifikasi untuk membenarkannya membuat keputusan sendiri. Dia tidak lagi bebas sejak dari masa itu, berbanding dengan jika dia masih mengekalkan diri dengan rela dalam kebebasannya. Prinsip kebebasan tidak boleh memberikan seseorang kebebasan untuk memilih tidak bebas. Ini bukannya kebebasan jika ia membenarkan seseorang melepaskan kebebasannya.

Utilitarianisme

William Godwin menunjukkan sikap optimistiknya yang berketerlaluan apabila beliau mengatakan bahawa bunuh diri hampir selalu merupakan suatu kesilapan, kerana lebih banyak keseronokan dapat diperoleh daripada pilihan menghidup. Oleh sebab beliau adalah seorang penyokong Utilitarianisme yang mempertimbangkan prinsip moral dari segi keseronakan dan kesakitan yang dihasilkan, beliau menganggap bunuh diri sebagai tidak berakhlak.

Deontologisme

Immanuel Kant yang dianggap secara meluas sebagai bapa deontologisme mengemukakan alasan menentang bunuh diri dalam karyanya, Prinsip-prinsip Asas Metafizik Moral. Menurut ungkapan perintah mutlaknya yang kedua, beliau menyatakan bahawa: "Sesiapa yang berfikir-fikir hendak membunuh diri harus menanyakan diri tentang adakah tindakannya selaras dengan idea bahawa kemanusiaan merupakan suatu tujuan pada dirinya." Kant kemudian mengemukakan alasan bahawa jika orang itu memilih untuk membunuh diri, jadi dia telah memperalatkan diri untuk memuaskan sendiri. Tetapi seseorang tidak boleh dipergunakan "hanya sebagai alat, tetapi harus dalam semua tindakannya selalu dianggap sebagai suatu tujuan pada dirinya." Oleh itu, pembunuhan diri untuk memuaskan diri merupakan suatu tindakan yang tidak beretika.

Walau bagaimanapun, kritikan terhadap teguran Kant tentang bunuh diri boleh disimpul daripada pandangannya terhadap keseksualan. Alasan tentang mengapa persetubuhan dalam perkahwinan dapat diterima (dan pada mata Kant, ini merupakan cara yang tunggal untuknya) adalah kerana tidak terdapat orang lain yang dapat diperalatkan. Oleh itu, mengambil kesempatan daripada seseorang yang tidak wujud adalah mustahil dan serupa juga, seseorang tidak berupaya mengambil kesempatan daripada diri sendiri. Berdasarkan itu, bunuh diri kelihatan tidak dapat diterima oleh Kant atas alasan-alasan lain selain daripada memuaskan sendiri.

Eksistensialisme

Albert Camus, ahli falsafah penyokong Eksistensialisme Perancis, mendapat tahu akan matlamat eksistensialisme ketika menentukan adakah bunuh diri diperlukan dalam sebuah dunia tanpa Tuhan. Baginya, bunuh diri ialah penolakan kebebasan. Beliau berpendapat bahawa melarikan diri daripada kenyataan hidup yang tidak masuk akal memasuki ilusi, agama, serta kematian bukannya jalan keluar. Sebaliknya, sebagai ganti untuk melarikan diri daripada kewujudan yang tidak bermakna ini, kita harus mendakap kehidupan dengan penuh semangat.

Sartre, lagi seorang ahli falsafah penyokong Eksistensialisme, memerihalkan pendirian Meursault, protagonis dalam karya Camus, L'Etranger, yang dihukum mati dengan cara yang berikut:"Manusia yang hidup dengan tidak munasabah tidak akan membunuh diri; dia hendak hidup dengan tidak meninggalkan sebarang kepastian, tanpa masa hadapan, tanpa harapan, tanpa ilusi ... dan juga tanpa penuh reda. Dia merenung kematian dengan perhatian yang ghairah, dan keterpesonaan ini membebaskannya. Dia mengalami 'ketakbertanggungjawaban ketuhanan' orang yang dihukum mati. [2]

Kontrak Sosial

Kontrak sosial, menurut Jean-Jacques Rousseau, memperdebatkan bahawa setiap orang mempunyai "hak untuk membahayakan hidup supaya dapat memeliharanya."

Thomas Hobbes dan John Locke menolak hak seseorang untuk menamatkan hayatnya. Dalam bukunya, Leviathan, Hobbes mendesak bahawa hukum semula jadi melarang setiap orang "membuat sesuatu yang akan memusnahkan hayatnya atau menghapuskan cara-cara untuk mengekalkannya". Mengikutnya, mencabuli hukum semula ini adalah tidak rasional serta tidak bermoral. Hobbes juga menyatakan bahawa keinginan untuk kebahagiaan serta ketakutan terhadap kematian adalah sesuatu yang rasional serta intuitif bagi manusia.

Alasan-alasan lain

Penulis Dorothy Parker, yang cuba membunuh diri banyak kali, menulis sebuah puisi komedi hitam yang berfikir-fikir tentang bunuh diri dan akhirnya menolaknya. [3]